Bayaran insentif 4,000 doktor pakar dinaikkan
KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Lebih 4,000 doktor pakar di seluruh negara menerima kenaikan kadar bayaran insentif pakar antara RM300 hingga RM700 sebulan bermula 1 Januari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, kenaikan itu sejajar dengan tugas berat doktor pakar sedangkan kadar bayaran yang diterima tidak pernah berubah sejak 20 tahun lalu.
Beliau berkata, insentif itu diharap mampu meningkatkan motivasi mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selain terus setia berkhidmat di hospital-hospital kerajaan.
''Kerajaan sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan kesihatan rakyat dan juga kebajikan pegawai serta pakar perubatan," katanya selepas merasmikan Program Citra Sihat di Dataran Shahbandar di sini hari ini.
Tiong Lai memberitahu, kenaikan itu melibatkan tambahan peruntukan kira-kira RM27.7 juta setahun.
Beliau berkata, kadar kenaikan insentif itu membabitkan pakar perubatan gred UD41 hingga Gred Utama/Khas ke atas.
Menurutnya, Gred UD41 menerima kenaikan RM300 iaitu daripada RM1,300 kepada RM1,600 sebulan, UD43 dan UD44 daripada RM1,400 kepada RM1,900 dan UD45 daripada RM1,500 kepada RM2,000.
Bagi Gred UD47/U47 dan UD38/U48 menerima kenaikan dari RM1,700 kepada RM2,200, UD51/U51 dan UD52/U52 daripada RM1,800 kepada RM2,500, UD53/ U53 dan UD54/U54 daripada RM2,200 kepada RM2,800 manakala Gred Utama/ Khas ke atas menerima kenaikan RM700 iaitu daripada RM2,400 kepada RM3,100.
No comments:
Post a Comment